Home | Join! | Help | Browse | Forums | NuWorld | NWF | PoPo   
For all the cows..
Beginner's Guide (PDF file)
PENUTUPAN MRSM-YAYASAN TERENGGANU DUNGUN DAN BESUT
Friday, November 01, 2002
Bagi pihak Pemuda keADILan Negeri Pahang, saya terpanggil untuk menyuarakan rasa terkejut saya dengan kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz, Menteri Pembangunan Usahawan berkenaan dengan penutupan dua buah MRSM di Terengganu (satu di Dungun dan satu di Besut) yang mana pengelolaannya adalah secara kerjasama dengan Yayasan Terengganu dan keputusan ini pula adalah muktamad, berkuatkuasa tahun hadapan. Sebagai bekas pelajar MRSM, saya merasa begitu tersentuh sekali. Sampai ke tahap itu, mengorbankan tempat dan peluang pendidikan anak-anak Melayu/Bumiputera, kerajaan UMNO/BN sanggup lakukan semata-mata kerana perbalahan politik. Kalau diandaikan pengambilan pelajar baru oleh sebuah MRSM adalah seramai 150 orang, maka anak-anak Melayu/Bumiputera sudah kehilangan 300 tempat untuk ke sekolah berasrama penuh! Tiada alasan yang saya fikir boleh merasionalkan tindakan ini. Semua argumentasi yang diberikan boleh dicabar. Persoalan sama ada ramai atau tidak orang Melayu/Bumiputera miskin di Terengganu tidak timbul langsung. Yang penting MRSM ditubuhkan adalah untuk memberi peluang pendidikan menengah secara berasrama penuh kepada seramai mungkin anak Melayu/Bumiputera yang punya potensi, tidak kiralah dari mana asal mereka dan di mana letaknya MRSM itu. Persoalan kuota tinggi Kerajaan Negeri Terengganu sudah menjadi perkara kedua, kerana sama ada di dalam atau di luar kuota, mereka semua adalah anak Melayu/Bumiputera dan mereka ini sedang menjadi buah catur permainan “berapa beratus-berapa peratus” oleh ahli-ahli politik. Benar, Perbendaharaan memang mengeluarkan arahan tidak lagi membenarkan penubuhan MRSM berdasarkan keutamaan kumpulan tertentu, tetapi MRSM-Yayasan Terengganu Dungun dan Besut bukanlah MRSM yang baru dirancang hendak dibina atau dalam proses pembinaan, kedua-dua MRSM ini sudah wujud, sudah beroperasi bertahun lamanya, sepatutnya tidak tertakluk kepada arahan tersebut. Kalaupun Kementerian Pembangunan Usahawan mahu juga menggunakan alasan ini, maka secara adilnya, MRSM untuk anak tentera dan polis di Kem Terendak, Melaka serta di Kulim, Kedah patut ditutup sama. Kalau tidak, secara jelas, Kerajaan UMNO/BN membuktikan mereka sedang melakukan tindakan sakit hati politik. Tahun depan, daripada 33 buah, MRSM akan hanya tinggal 31 sahaja. Pada waktu yang sama MRSM juga akan mula membuat pengambilan 10% pelajar bukan Melayu/Bumiputera. Andaikan pengambilan pelajar baru bagi setiap MRSM adalah seramai 150 orang, maka jumlah keseluruhannya adalah 4650 orang. Setiap MRSM akan membuat pengambilan tambahan untuk pelajar bukan Melayu/Bumiputera sebanyak 10%, iaitu 465 orang! 465 tempat pada waktu 300 tempat anak Melayu/Bumiputera sedang dikorbankan. Saya menyeru kepada pimpinan UMNO/BN, khususnya kepada Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz, duduk dan berfikirlah sebentar; sakit hati, dendam dan perbalahan politik kamu sebenarnya sedang membunuh generasi masa depan bangsa kamu sendiri.

Comment! (2) | Recommend!

Page: 1 2 3
zukri's Weblog Site • NuTang.com

NuTang is the first web site to implement PPGY Technology. This page was generated in 0.004seconds.

  Send to a friend on AIM | Set as Homepage | Bookmark Home | NuTang Collage | Terms of Service & Privacy Policy | Link to Us | Monthly Top 10s
All content � Copyright 2003-2047 NuTang.com and respective members. Contact us at NuTang[AT]gmail.com.