Home | Join! | Help | Browse | Forums | NuWorld | NWF | PoPo   
For all the cows..
Beginner's Guide (PDF file)
PAK LAH
Monday, December 15, 2003
Berita Harian edisi timur hari ini (15 Disember 2003) menyiarkan laporan yang memetik kata-kata Dato' Che Mat Jusoh, Pegawai Khas Perdana Menteri, antara lain kata beliau Pak Lah berjanji akan menubuhkan (kembali) dua buah MRSM di Terengganu jika UMNO/BN menang di Terengganu dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Selanjutnya, Dato' Che Mat Jusoh menjelaskan rasional penubuhan dua buah MRSM tersebut adalah kerana ramainya pelajar-pelajar lepasan UPSR yang cemerlang di Terengganu gagal menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah berasrama penuh kerana kekurangan tempat. Apa sudah jadi Dato'? Saya kira dulu sayalah orang pertama yang mengeluarkan kenyataan membantah penutupan MRYT (Maktab Rendah - Yayasan Terengganu) di Dungun dan Besut, sehari selepas Datuk Seri Nazri mengeluarkan arahan muktamad penutupan dua buah MRYT tersebut, kenyataan ini telah diterbitkan oleh Agendadaily.com (untuk membaca salinannya, sila lawati http://zukri-keadilan.blogdrive.com). Dulu, antara alasan yang diberikan terhadap penutupan kedua-dua MRYT tersebut adalah kerana keengganan Kerajaan Negeri Terengganu mengurangkan kuota tinggi (80% jika tidak silap saya) kemasukan anak-anak Terengganu ke kedua-dua MRYT Dungun dan Besut ini. Tetapi hari ini Dato' Che Mat Jusoh pula secara sedar mengaku dan membuktikan bahawa memang ramai lepasan UPSR di Terengganu yang cemerlang dan memerlukan DUA BUAH MRSM baru bagi memberi tempat dan peluang bagi mereka menyambung pelajaran. Lantas, di mana silapnya kuota 80% itu? Kong kalikong apakah yang sedang dimainkan ini? Tutup dua buah MRYT bila UMNO/BN kehilangan kuasa di Terengganu, bina semula dua buah MRSM jika UMNO/BN kembali menang. Tidak jelaskah lagi bagi orang yang berfikir bahawa semua ini adalah tindakan sakit hati politik? Program-program yang berkait dengan pendidikan seharusnya digerakkan dengan didasari oleh Falsafah dan Dasar Pendidikan Negara, bukan oleh sentimen kesukaan dan kebencian politik, kerana kelak yang menjadi mangsa adalah anak bangsa kita juga. Kelihatannya Pak Lah cuba menjadikan MRSM sebagai "pelacur" bagi menggamit berahi rakyat Terengganu untuk kembali memangkah UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang. Atau apakah Pak Lah melihat pilihanraya seperti tempat orang "menikam ekor"? Dan kali ini jika rakyat Terengganu "menikam" UMNO/BN, hadiah jack-pot yang menanti nampaknya agak lumayan, kembalinya dua buah MRSM ke Negeri Terengganu! Apapun keadaannya, melihat bagaimana MRSM sedang diperkudakan, sebagai bekas pelajar MRSM, saya merasa cukup terhina...

Comment! (5) | Recommend!

DKL: KEWARTAWANAN DAN SEJARAH
Tuesday, December 09, 2003
Pada Ahad malam yang lepas, saya menonton Smallville, sebuah drama mengenai kisah hidup waktu remaja Clark Kent alias Superman. Dialog pada akhir cerita itu yang diucap oleh Luthor (ayah Lex) kepada Chloe (editor Torch, akhbar sekolah tinggi Smallville) begitu melekat di pendengaran saya, secara lebih kurangnya, Luthor berkata, "wartawan adalah bidan sejarah." Begitulah gambaran peri pentingnya peranan wartawan dalam proses pembikinan sejarah moden. Bila kita meneliti sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara kita, tentu segera kita akan teringat nama Pak Sako, seorang wartawan. Di tangan orang-orang sebeginilah, "sejarah" diperanakkan lewat tulisan-tulisan mereka. Tetapi malangnya, keberkesanan para wartawan dalam membidankan kelahiran sejarah-sejarah baru telah dilihat oleh politikus-politikus yang memegang kuasa sebagai kuda yang boleh ditunggang pada bila-bila masa membawa ke arah yang mereka mahu dalam usaha mereka mengekalkan status quo penguasaan mereka. Wartawan yang biasanya menyambut kelahiran sejarah baru dari sang ibunya, iaitu sejarah terdahulu, kini terpaksa pula akur pada SANG KELEMBAI, si politikus yang berkuasa yang sentiasa mahu sejarah baru lahir mengikut iras rupa mereka, silap-silap ingkar nanti keteguran dan disumpah... inilah nasib yang diterima oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Tan Sri Abdullah Ahmad alias Dollah Kok Lanas (DKL) yang telah dipecat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NST. Konon alasan yang diberikan kelantangan DKL mengkritik Kerajaan Arab Saudi adalah penyebab utamanya, bisa membikin goncang hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi, adakah semudah itu pemuka-pemuka negara melonggarkan hubungan dua negara, semata-mata kerana komentar seorang wartawan? Ingin juga saya bertanya kepada Syed Hamid Albar, bagaimana pula jika wartawan Arab Saudi yang mengkritik Kerajaan Malaysia? Apakah Malaysia akan memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara? Bagaimana pula hubungan diplomatik Malaysia dengan negara yang menjadi tempat keluarnya majalah-majalah seperti The Economist dan Far Eastern Economic Review, sekadar contoh? Majalah ini pernah secara terbuka mengkritik kepimpinan Malaysia di dalam keluarannya. Atau apakah benar kerana sokongan terbuka DKL terhadap Najib dalam ulasan-ulasannya mengenai kepimpinan nombor dua negara menjadi penyebab? Apa sahaja jawapan kepada persoalan ini semuanya membuktikan satu perkara, kebebasan media kita telah tiada, telah mati semenjak terlantiknya Ibrahim Fikri sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu, gagalnya Mogok Utusan dan terhumbannya Said Zahari ke dalam kepungan kezaliman ISA. Insiden pemecatan DKL ini hanyalah penerusan peristiwa yang membuktikan tentang cengkaman UMNO/BN terhadap media, bahkan DKL sendiri adalah Ketua Pengarang yang ketiga jatuh akibat sumpahan dan keteguran SANG KELEMBAI yang memegang kuasa. Di bawah cengkaman UMNO/BN, para wartawan kita, tanpa rela, seringkali terpaksa menyambut kelahiran sejarah-sejarah baru yang kelihatannya tidak ubah seperti cerita fiksyen, penyuntingan bukan lagi istilah berkait dengan profesionalisme kewartawanan, tetapi ia adalah tentang cerita mana yang paling menyedap dan menggembirakan hati si politikus yang berkuasa. Cerita-cerita inilah yang sedang menjadi "sejarah" untuk masa hadapan yang sedang menjadi bahan bacaan adik-adik dan anak-anak kita, sejarah dalam bentuk tengok-tulis-ubah-cipta-reka-ulas-lapor. Percayalah, semakin hari sejarah-sejarah baru yang disambut kelahirannya berbidankan wartawan-wartawan yang dicatu ideanya ini semakin banyak yang cacat, semakin banyak yang sumbing, bahkan ada yang mengalami down-syndrome.

Comment! (3) | Recommend!

APAKAH PAK LAH MEMBERI SINAR BARU UNTUK MALAYSIA?
Thursday, October 30, 2003
Tidak sedikit rupanya dari kalangan kita pihak pembangkang yang termakan dengan dongengan kononnya Pak Lah akan membawa sinar yang lebih baik untuk Malaysia, terutamanya untuk perjuangan ini, bermula esok, 31hb Oktober 2003. Sepertinya kezaliman itu hanya milik Mahathir, rasuah hanya milik Mahathir, salah guna kuasa hanya milik Mahathir, kronisme dan nepotisme hanya milik Mahathir. Seakan luput dari perkiraan kita bahawa yang bernama Kamaluddin bin Abdullah itu adalah anak kepada Abdullah Ahmad Badawi, jutawan segera dari hasil skim cepat kaya ciptaan ayahandanya. Itu belum dikira lagi entah sudah berapa surat anugerah tender (letter of award) yang tidak bertarikh yang sudah ditandatangani oleh Pak Lah atas kapasiti sebagai Perdana Menteri berada di tangan-tangan kontraktor di luar sana. Gambarannya apa? Tlunjuk bukan sepatutnya ditunjukkan ke arah Mahathir mahupun Pak Lah, tetapi terus kepada UMNO dan Barisan Nasional. Hakikatnya selama ini kezaliman adalah milik UMNO/BN, rasuah adalah milik UMNO/BN, salah guna kuasa adalah milik UMNO/BN, kronisme dan nepotisme adalah milik UMNO/BN; tidak kiralah siapa yang memimpinnya. Yang penting dinyatakan di sini adalah UMNO/BN merupakan satu struktur yang telah rosak sistemnya. Bagaimana tidak dikatakan rosak; diwujudkan satu tabung berjumlah hamper RM 40 juta untuk rakyat kita yang termiskin, diamanahkan kepada seorang menteri dari kalangan mereka untuk menjaganya, kesudahannya tabung ada duit entah ke mana, bila kita minta disiasat memang mereka menyiasat tetapi apa yang ditangkap, kereta Mercedez!; ada pula kisah menteri-menteri mereka yang disiasat, konon nak menunjukkan tiada siapa yang kebal dari undang-undang tetapi bila Pejabat Peguam Negara mendapati ada kes terhadap menteri-menteri ini terus kertas siasatan dijadikan dokumen rahsia rasmi kerajaan di bawah OSA, jadi bila dokumen ini digunakan sebagai bukti korupnya mereka, kita pula yang ditangkap dan dipenjara, kalau tidak ditunjuk sambil senyum mereka kata ini semua fitnah belaka; ada pula sebuah negeri yang dianugerahkan dengan kekayaan hasil mahsul balaknya, lalu satu ketika diangkatlah salah seorang dari kalangan mereka sebagai Menteri Besar negeri tersebut, besar tubuhnya, tegap badannya, perasan pula dia punya gaya Marlon Brando, itu kata isterinya, menjadi Menteri Besar sehingga tahun 1999 sahaja tetapi kuota balak negeri telah habis disapu menjangkau ke tahun 2004, melibatkan salah guna sumber hasil negeri berjumlah anggarannya sebanyak RM 1.5 billion hingga RM 4.5 billion, laporan polis telah dibuat, oleh wakil rakyat mereka juga, siasat tak siasat, si Marlon Brando masih tersenyum jadi menteri. Apakah ini semua belum lagi boleh menjadi lambang rosak teruknya sistem dalam struktur UMNO/BN? Banyak lagi yang boleh dicerita dan disenaraikan tetapi apa yang dinyatakan di sini sudah memadai untuk membuktikan bahawa kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan juga nepotisme adalah milik bersama UMNO/BN, bukan hanya individu-individu di dalamnya. Perjuangan kita pula bukanlah hanya untuk menentang individu-individu tertentu di dalam UMNO/BN yang korup tetapi UMNO/BN itu sendiri secara keseluruhannya yang telah rosak sistem yang mendasari strukturnya, menggantikan mereka yang rosak sistemnya ini dengan satu pemerintahan alternative yang punya gagasan yang lebih baik dan berwibawa, juga terhindar dari pengaruh kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan juga nepotisme. Pilihanraya Umum hanya di sebalik simpang sana sahaja... Apapun, saya tetap mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bertugas kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Comment! (1) | Recommend!

CHIN PENG DAN PATRIOTISME YANG KABUR
Friday, October 10, 2003
Tiba-tiba nama Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi sebutan semula, bukan kerana mereka kembali melancarkan gerakan bersenjata, tetapi kerana terbitnya memoir peribadi bekas Setiausaha Agungnya, Chin Peng yang kemudiannya menimbulkan lagi polemik bila beliau menyuarakan hasrat hatinya ingin pulang ke Malaysia. Kepada sebahagian besar daripada masyarakat kita, komunis telah diterima pakai maksudnya sebagai jelek, jahat, zalim, ganas dan bangsat. Momokan ini kelihatannya terus mendominasi pemikiran generasi baru kita walaupun secara sedar kita tahu yang negara kita punya hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa komunis dunia seperti China dan Cuba. Komunis hanyalah satu ideologi yang biasanya tumbuh di dalam dua cabang, politik dan ekonomi, sama seperti sosialis, juga mungkin demokratis, tetapi demokratis biasanya hanya wujud sebagai amalan politik, demokratis selalu muncul bersama sistem ekonomi kapitalis yang menindas sedangkan "lasses faire" itu selalu tertinggal di belakang menjadi pujaan ilmuwan ekonomi yang ralit menulis di bilik yang sempit. Kebejatan komunis sering digambarkan di dalam dua peristiwa, Pemberontakan Bintang Tiga dan Zaman Darurat. Bagi seorang pemikir yang mahu melihat sejarah dengan jujur dan bersandarkan kepada sebab-musabab tentulah akan dapat merasionalkan tindakan Bintang Tiga selepas penyerahan kalah Tentera Jepun. Harus diingat bahawa Jepun berperang dengan China sebelum datang menjajah tanahair kita ini, lalu bila datang ke sini, masyarakat Tionghua yang ada di sini terus-terusan menjadi mangsa kelangsungan dendam mereka. Ketika itu, kelompok yang dominan-Cina yang paling berani menentang pendudukan Tentera Jepun adalah mereka ini, Gerilla Bintang Tiga. Jadi tidak hairanlah bilamana Tentera Jepun menyerah kalah, Gerilla Bintang Tiga ini keluar dari hutan dan merayakan kemenangan. Walaupun timbul kekecohan, bagi saya ini adalah reaksi normal manusia dalam perang yang tiba-tiba merasakan mereka telah menang. Sebahagian tempoh darurat berlangsung pada waktu Malaya telah merdeka. Soalnya mengapa PKM meneruskan gerakan bersenjata ala gerilla mereka walaupun mereka sedar penjajah sudah tiada? Mengapa PKM masih menentang Malaya yang merdeka mungkin sama dengan mengapa Indonesia di bawah pemerintahan Soekarno melancarkan operasi Ganyang Malaysia selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sebabnya sudah tentulah apa yang didakwa sebagai NEO KOLONIALISME, penjajahan bentuk baru. Kita dikata merdeka, tetapi kita dimestikan menerima perlembagaan yang dirangka penjajah. Kita dikata merdeka, tetapi kerana perlembagaan ini, kita secara sedar mewarisi sistem penjajah, undang-undang penjajah, bahkan lebih teruk lagi sebahagian besar daripada kita masih mewarisi ketuanan penjajah, walaupun tuan ini tidak pernahpun memberi kita waima lima sen untuk sesuap nasi. Sekilas pandang, ia hampir sama dengan apa yang dibuat oleh Amerika terhadap Iraq sekarang. Mereka memang akan memberi semula kemerdekaan kepada rakyat Iraq tetapi mereka terlebih dahulu akan menentukan dan menyusun segalanya termasuk perlembagaan mengikut kerangka selera mereka. Kepimpinan Almarhum Tunku (semoga Tuhan merahmati roh beliau) ketika itu dilihat oleh PKM mungkin hampir sama dengan kepimpinan Ahmad Challabi di Iraq, juga Hamid Karzai di Afghanistan. Kita boleh menerima logik mengapa kedua-dua pemimpin ini ditentang oleh rakyat mereka sendiri. Ketika operasi Ganyang Malaysia oleh Indonesia, telah berlaku pertembungan ketumbukan ketenteraan dua negara berjiran, apa yang lebih kita ingat sebagai era konfrontasi; berlaku perang, maka telah wujud korban. Apakah kerajaan tidak mengambil kira perasaan anggota tentera, bekas anggota tentera, balu-balu dan keluarga mereka bila selepas era itu, kembali berbaik dengan Indonesia? Bukan setakat rakan diplomatik tetapi menjadi antara negara sahabat yang akrab di rantau ini. Jadi tidak bolehkah pertimbangan ini (kalaupun bukan atas sifat kemanusiaan) kita gunakan untuk hanya membenarkan Chin Peng pulang melawat pusara ibubapa dan keluarga, serta saudara-mara yang masih hidup, itu sahaja permintaannya. Saya bukanlah seorang komunis, bukan juga sosialis, juga mungkin bukan seorang demokratis, pendek kata bukan seorang ideologis. Dari pengamatan yang panjang, saya melihat ada usaha jahat sedang dilakukan, kata-kata PATRIOT, PATRIOTIK dan PATRIOTISME sedang cuba dimilikUMNOkan, bahkan UMNO berani untuk mengatakan rakan komponen BNnya sendiri sebagai tidak patriotik, apalagi pembangkang. Membangkang UMNO bagi UMNO bukan sahaja tidak patriotik, lebih dari itu adalah pembelot dan pengkhianat negara. Tulisan ini mungkin akan membuat UMNO melabel saya sebagai pro-komunis, lebih teruk saya mungkin terus dicop sebagai komunis. Saya tidaklah mengambil berat sangat akan hal itu kerana saya percaya ada kebenaran pada apa yang saya tulis. Chin Peng mungkin tersalah jurusan bila memilih lapangan dalam keghairahan untuk melempiaskan kobar semangat patriotiknya. Tetapi janganlah pula kita generasi hari ini juga tersalah jurusan dalam menafsir sejarah dan menobat wira. Mereka yang pernah menentang penjajah sama ada dari atas padang atau dari dalam hutan, tetap seorang patriot, bukanlah UMNO yang paling layak untuk bercakap tentang patriotisme bangsa merdeka.

Comment! (1) | Recommend!

UMNO PAHANG TAK PERNAH MENDAPAT TANAH BALAK? TUNGG
Thursday, September 11, 2003
Rupa-rupanya isu UMNO Pahang disaman oleh sebuah syarikat, Seruan Gemilang Makmur (SGM) baru-baru ini kerana kes berkaitan tanah balak di Pekan cukup memberi kesan kepada UMNO sehingga pada suatu ketika, untuk menafikannya, Dato’ Seri Dr. Mahathir, Presiden UMNO terpaksa membuat kenyataan kononnya setahu beliau UMNO tidak pernah diberi kawasan balak. Elok kita berkenalan dengan sebuah lagi syarikat di Pahang. Di peringkat nasional, syarikat ini mungkin tidak dikenali, namanya Rangkaian Delima Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan pelaburan yang berpejabat di tengah-tengah Bandar Kuantan. Di dalam profil syarikatnya, secara terang dinyatakan; “Rangkaian Delima Sdn. Bhd. ditubuhkan sebagai sayap utama perniagaan UMNO Negeri Pahang. Selain itu, penubuhan Rangkaian Delima juga bertujuan untuk menjadi syarikat induk kepada anak-anak syarikat UMNO yang telah ditubuhkan sebelumnya.” Rangkaian Delima dalam sejarah operasinya telah diberi beberapa hak pemilikan. Dua kes yang ingin saya paparkan di sini adalah pemilikan tanah Tebu Hitam (PTR-2/1/0220) di Tebu Hitam, Mukim Rompin seluas 10,000 ekar dan projek pembangunan pertama Rangkaian Delima, bandar teknologi dengan konsep pembangunan bercampur yang mana termasuklah pembangunan perumahan, industri dan komersil yang terletak di Gambang, Kuantan dan akan meliputi kawasan seluas 5,000 ekar. Maksudnya dua kawasan berjumlah 15,000 ekar telah diterangkan. Bila kawasan baru diterangkan, sudah tentulah proses pertama adalah mengeluarkan hasil mahsul dari kawasan tersebut, dalam konteks ini, apa yang dibicarakan sudah tentulah hasil balak. Berikutan dengan kekalahan Syarikat SGM dalam tuntutan mahkamahnya terhadap UMNO Pahang, Dato’Seri Adnan Yaakob dengan angkuhnya memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak memainkan lagi isu itu, ia seperti satu gerakan psikologi terhadap rakyat, secara tersiratnya seperti mahu menegaskan retorik Dr. Mahathir kononnya UMNO tidak pernah mendapat kawasan balak. Tunggu sekejap Dato’ Nan!!! Kepada Dato’ Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang, saya mencabar supaya membuat kenyataan jelas tentang dua perkara. Pertama, siapakah yang memberi pemilikan kedua-dua tanah ini kepada SYARIKAT UMNO ini? Adakah ia kes UMNO memberi tanah kepada UMNO atau Kerajaan Negeri memberi pemilikan tanah ini kepada UMNO de facto (Rangkaian Delima)? Kalau ya, atas kuasa apakah Kerajaan Negeri boleh berbuat demikian? Persoalan kedua, ke mana perginya hasil hutan dari 15,000 ekar tanah yang telah diterangkan ini? Rangkaian Delima? Yang secara terang mengakui bahawa ia adalah sayap pelaburan UMNO Negeri Pahang, UMNO beri tanah kepada UMNO dan UMNO yang mendapat hasilnya, di mana rakyat? Persoalan yang tidak kurang penting yang perlu dijawab oleh Dato’ Seri Adnan Yaakob ialah tentang status projek yang dikatakan hendak dilaksanakan di kedua-dua tanah di Rompin dan Gambang tersebut. Apakah setelah habis hasil hutannya, perancangan ke mana, projek ke mana? Untuk maklumat lanjut, silalah hubungi pejabat Rangkaian Delima di Kuantan. Apakah Dato’ Seri Adnan akan melepaskan beban ini kepada Pengarah Urusan Rangkaian Delima Sdn. Bhd., Dato’ Faisal? Ingatkah peristiwa UMNO Bahagian Kuantan digantung kerana kes politik wang dalam insiden perlawanan tiga penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuantan bersama Dato’ Faisal, Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Dato’ Wan Adnan? Bayangkan seorang yang hanya berkelulusan sijil dari Indonesia boleh menjadi Pengarah Urusan sebuah syarikat, untuk apa itu? Apakah supaya beliau mudah diperbudakkan oleh seseorang yang lain dibelakangnya? Apakah Dato’ Seri Adnan Yaakob masih boleh tersenyum lagi? Jangan tunggu sehingga tabir Dato’ Nan sendiri yang disingkap terutama ketika Dato’ Nan menjadi Exco dulu (ketika Tan Sri Khalil menjadi Menteri Besar). Kalau Dato’ Seri Adnan Yaakob tidak menyahut cabaran, terpaksalah saya memohon jasa baik “our Prime Minister to be,” Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, kerana kelihatannya beliau agak rapat dengan Dato’ Faisal, Pengarah Urusan Rangkaian Delima, atau kalau Tan Sri Khalil berani membuat kenyataan balas, silakan, bahkan saya mencabar Tan Sri, rasanya Tan Sri lebih maklum akan hal Rangkaian Delima ini. Mungkin, selepas ini, akan ada kenyataan bodoh, kononnya kes pemilikan tanah ini adalah proses biasa penganugerahan Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat, jadi di bawah ini saya sertakan biodata kesemua Ahli Lembaga Pengarah Rangkaian Delima Sdn. Bhd., telitikanlah, dari mana mereka semua ini datang. YB Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak Beliau merupakan Pengerusi Rangkaian Delima Sdn. Bhd. Perlantikan beliau ke jawatan sekarang bermula pada Ogos 2001. Beliau juga adalah Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang. Beliau telah menjadi Pengarah Rangkaian Delima semenjak Ogos 2001. YH Dato’ Haji Faisal @ Fisar Haji Abdullah Beliau merupakan Pengarah Urusan Rangkaian Delima Sdn. Bhd. Beliau juga adalah Pengarah Kurnia Setia Berhad, salah satu syarikat perladangan kelapa sawit yang berjaya di Pahang. Beliau yang berkelulusan Sijil Menengah Agama dan Sijil Pendidikan Indonesia adalah anggota pengurusan asal Rangkaian Delima dan telah bersama syarikat semenjak ia ditubuhkan lagi. Beliau juga berpengalaman luas dalam politik dan pertubuhan belia, melebihi 25 tahun. Belia adalah Naib Presiden Gerakan Belia 4B (M) Kebangsaan dan Presiden Gerakan Belia 4B (M) Kuantan, beliau juga adalah Presiden Majlis Belia Pahang. Sebelum menyertai Rangkaian Delima, beliau adalah Setiausaha Kerja UMNO Negeri Pahang dan Barisan Nasional Negeri Pahang. Pengalaman luasnya dalam politik dan pertubuhan belia memberi banyak manfaat kepada syarikat. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak tahun 1996. YB Dato’ Haji Mohd Sarit Haji Jusoh Beliau merupakan Pengarah dan Pengerusi kepada Kwantas Corporation Berhad. Beliau juga adalah Pengarah dan Pengerusi kepada Kurnia Setia Berhad, Khee San Berhad dan Goh Huat Berhad. Pada masa ini beliau juga adalah Ahli Parlimen Temerloh sejak Pilihanraya Umum 1999. Beliau telah terlibat dengan perniagaan selama 10 tahun. Pengalaman perniagaan yang luas dan kedudukan sebagai Pengerusi dalam beberapa buah syarikat tersenarai memberikan nilai yang tinggi kepada Rangkaian Delima. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak tahun 1996. YH Dato’ Haji Abd Rahim Mohamad Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif Zil Group of Companies dan anak syarikatnya. Beliau juga adalah pengarah kepada beberapa buah syarikat tersenarai dan sendirian berhad terutama yang terlibat dengan pegangan pelaburan dan pembangunan hartanah. Ini termasuklah Pasdec Corporation Berhad, Far East Holdings Berhad, Pahang Cement Sdn. Bhd. dan beberapa syarikat lagi. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Kewangan dari Morehead State University of Kentucky, Amerika Syarikat. Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjanamuda Kepujian dalam Pengurusan Perniagaan dan Dipkoma Lanjutan Ekonomi dari Universiti Malaya dan University of Manchester. Belia berpengalaman luas dalam bidang korporat dan badan kerajaan. Beliau adalah bekas Pengarah Urusan Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Pengurus Besar Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Shapadu Group of Companies serta Pengurus Kanan Amanah Merchant Bank Berhad. Dalam kerajaan, beliau adalah bekas Pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan serta Kementerian Kewangan sebelum terjun ke dunia korporat. Beliau juga aktif dalam politik dan kerja sosial dan merupakan ahli Biro Ekonomi UMNO Pahang serta Pemegang Amanah Yayasan Budi Penyayang. Beliau telah menjadi Pengarah Rangkaian Delima semenjak 1996. YH Dato’ Kamaruddin Mohamed Beliau merupakan Pengarah Urusan Amanah Saham Mara. Tugas beliau termasuklah memberikan sokongan yang perlu kepada pihak pengurusan dan berusaha mencapai potensi starikat. Beliau juga merupakan pengarah kepada anak-anak syarikat ASM yang penglibatan utamanya adalah dalam bidang pelaburan. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak 1996.

Comment! (2) | Recommend!

Pak Lah digesa arah polis siasat laporan Fauzi ter
Tuesday, September 09, 2003
(diedit oleh Malaysiakini.com) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa supaya mengarahkan polis menyiasat laporan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang mendakwa setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob terbabit dalam penyelewengan konsensi balak, sewaktu menjadi menteri besar Pahang. Ketika membuat gesaan itu, ketua penerangan Pemuda Keadilan Pahang, Mohd Zukri Asah, berkata ianya selaras dengan kenyataan Abdullah baru-baru ini yang menegaskan bahawa antara usaha serius beliau adalah untuk memerangi rasuah. Fauzi membuat laporan polis itu pada awal tahun 2001. Dalam aduan itu, beliau mendakwa Khalil, yang juga setiausaha agung Umno, mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan Dasar Perhutanan Negara ketika memimpin Pahang antara 1986 hingga 1999. Fauzi mendakwa tindakan Khalil itu "menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai" kerajaan Pahang sekarang akibat hasil kawasan pembalakan sebanyak RM300 juta hingga RM900 juta setahun yang telah dibuka lebih awal. Dalam satu kenyataannya hari ini, Mohd Zukri berkata: "Sebagai pembangkang yang sentiasa menegur parti pemerintah mengenai rasuah dan salahurus kewangan negara, saya mengalu-alukan kenyataan itu, apatah lagi dengan status Pak Lah sebagai bakal perdana menteri, bakal presiden Umno dan bakal pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelang akhir Oktober ini." Bagaimanapun, beliau mendakwa, setakat ini tindakan yang diambil hanya terhadap kepada pegawai kerajaan sahaja sepertimana dalam kes pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abdul Kudus Ahmad. Oleh itu, beliau menggesa Abdullah supaya membuktikan ketegasan dan komitmennya itu, dengan memulakan siasatan terhadap Khalil berhubung laporan polis Fauzi terhadap menteri penerangan itu. Hilang sumber kewangan "Ianya bukanlah hasil ‘fitnah’ pihak pembangkang, tetapi telah didokumentasikan dalam bentuk laporan polis oleh Datuk Fauzi, Adun Umno/BN Kawasan Beserah. "Kerana penyelewengan ini, seperti kata Datuk Fauzi, anggarannya kerajaan Pahang kehilangan sumber kewangan di antara RM300 juta hingga RM900 juta setahun. Bayangkan ini berlaku selama lima tahun! Kerajaan Pahang telah kehilangan sumber kewangan minimumnya sebanyak RM1.5 bilion dan maksimumnya RM4.5 bilion. "Apa yang boleh diusahakan oleh (Menteri Besar) Datuk Seri Adnan Yaakob untuk negeri Pahang jika sumber kewangan ini masih ada...," tambah Mohd Zukri. Oleh itu, beliau menggesa Abdullah selaku menteri dalam negeri, mengarahkan pihak polis memulakan siasatan kerana laporan polis itu bukan sahaja dibuat oleh Fauzi tetapi juga oleh parti Keadilan. "Sekiranya Pak Lah gagal melakukannya, tidak usahlah lagi selepas ini bersuara tentang usaha memerangi rasuah...," tambahnya. Malaysiakini telah menyiarkan laporan-laporan mengenai konsesi balak yang dianugerahkan oleh kerajaan Pahang kepada Umno negeri itu, yang kemudiannya telah menandatangani perjanjianuntuk menyerahkan hak membalak kepada syarikat Seruan Gemilang Makmur (SGM) dengan bayaran hanya RM50,000. Kawasan yang terletak di Nenasi, kira-kira 100km ke selatan Kuantan telah diberikan kepada Umno Pahang pada 1998. Parti itu menandatangani perjanjian dengan SGM pada tahun 2000. Bagaimanapun, kedua-dua pihak kini terbabit dalam kes mahkamah selepas SGM menyamanUmno Pahang kerana kegagalan parti itu membantunya mendapatkan lesen membalak di kawasan baki seluas 3,000 ekar.

Comment! (2) | Recommend!

Page: 1 2 3
zukri's Weblog Site • NuTang.com

NuTang is the first web site to implement PPGY Technology. This page was generated in 0.005seconds.

  Send to a friend on AIM | Set as Homepage | Bookmark Home | NuTang Collage | Terms of Service & Privacy Policy | Link to Us | Monthly Top 10s
All content � Copyright 2003-2047 NuTang.com and respective members. Contact us at NuTang[AT]gmail.com.