Home | Join! | Help | Browse | Forums | NuWorld | NWF | PoPo   
For all the cows..
Beginner's Guide (PDF file)
UMNO TARIK PENGUNDI GUNA PENARIK KERETA
Monday, January 19, 2004
Bukanlah saya untuk menulis sesuatu yang berunsur fitnah atau tuduhan melulu. Saya biasa menulis tentang sesuatu yang kabur, tetapi saya menulisnya dalam bentuk persoalan, saya tidak membuat andaian, tohmahan apalagi kesimpulan tanpa asas. UMNO guna gangster? Sesiapa sahaja yang membaca tulisan ini boleh saja menafikannya tetapi itulah yang berlaku di hadapan mata saya sendiri. Minggu lepas, ketika saya sedang minum dengan seorang client saya (saya seorang konsultan bebas) yang merupakan seorang kontraktor kelas A, kami didatangi oleh seorang lagi kontraktor (juga kontraktor besar, sangat saya kenali kerana pejabat kami berjiran, dia orang kuat UMNO DUN Lepar) yang terus menegur client saya tadi. Dia rupanya mahu ke Pejabat UMNO Pahang atas urusan parti. Berceritalah si orang kuat UMNO ini tentang kawasan UPUnya yang antara teramai pengundi di DUN Lepar. Masalahnya ialah UPU itu kuat pembangkang dan dalam pilihanraya umum 1999 dulupun UMNO kalah di situ. Client saya bukanlah penyokong UMNO tetapi kerana beliau seorang usahawan, bergelar kontraktor pula, maka beliau baik dengan semua orang. Antara masalah yang diperkatakan oleh si orang kuat UMNO ini ialah kawasannya itu dihuni majoritinya 'orang luar' (tidak perlu saya perjelaskan tentang ini kerana saya tidak berminat dengan faham kenegerian). Katanya kalau ada arwah si polan (disebutnya nama seseorang yang telah meninggal, anak jati Pahang dan garang orangnya) mudahlah sedikit kerja kerana sipolan ini akan halau je, "Kalau dah tak nak sokong kerajaan, pergi balik negeri jelah." Begitulah angkuhnya orang UMNO, lagaknya seperti 'kerajaan' itu mak bapak UMNO yang empunya. Itu belumlah lagi memeritkan telinga dan tekak saya yang sedang meneguk teh o ais ketika itu. Selepas itu si orang kuat UMNO ini bertanya kepada client saya, "Engkau kenal tak si polan tu, alaa!!! Yang kerja tarik kereta tu...," kalau dah tinggalnya satu kawasan, siapa yang tidak kenal gangster kawasan itu bukan! Tentulah client saya kenal. Si orang kuat UMNO ini bercerita yang dia dah berjumpa dengan gangster tarik kereta ini dan minta orang itu datang lagi berjumpa dengannya nanti, nak berbincang pasal inilah, pasal macam mana nak twist pengundi di kawasannya supaya sokong UMNO. Tarik pengundi guna penarik kereta bang!!! Boleh kita bayangkan bagaimana gangster penarik kereta ini buat kerja? Masyaallah!!! Terkejut jugalah saya, baru perit tekak ini rasanya, bukanlah terkejut pasal UMNO guna gangster, tetapi tentang si orang kuat UMNO ini, dia ini agak berumur, perawakannya tidaklah nampak jahat, ganas atau gedebe. Namun itulah hakikatnya, begitulah UMNO, untuk mencapai matlamat, apa sahaja cara boleh digunakan, termasuk yang paling kotor dan jahat sekalipun. Rasa hormat saya yang masih tersisa pada orang kuat UMNO ini terus hilang dan luntur. Hidup ini bagai putaran roda. Kalaulah ditakdirkan satu hari perniagaannya jatuh (jauhkan hati saya dari mendoakannya), menghadapi masalah untuk melangsaikan tuntutan kewangannya termasuklah ansuran kereta-keretanya itu, tidakkah dia sedar yang akan datang menarik keretanya nanti adalah penarik kereta itu juga.

Comment! (3) | Recommend!

MENGAPA SAYA MEMILIH keADILan (BHG. 2)
Friday, January 09, 2004
Mengapa saya memilih keADILan? Di awal gerakan reformasi bermula, sebelum keADILan ditubuhkan, seorang sahabat yang satu sekolah dari tingkatan satu hingga ke universiti telah mengajak saya menyertai PAS. Katanya, "sudah sampai masanya kita menyatakan pendirian dan kita cuma ada dua pilihan, UMNO atau PAS, takkan engkau nak masuk UMNO?" Setahu saya dia memang ahli PAS tetapi sampai sekarang dia masih takut untuk mengakui yang dia adalah ahli PAS, apalagi mahu berjuang di barisan hadapan bersama PAS. Ada juga anak muda yang lemas dengan rasuah keselesaan hidup oleh Barisan Nasional (BN). Mengapa saya tidak memilih PAS tetapi menganggotai keADILan yang kemudiannya ditubuhkan? Sama ada PAS, PRM atau DAP, mereka wujud dalam tempoh yang hampir sama atau sedikit terkemudian daripada BN. Maksudnya mereka berada di graf Kitaran Hayat Produk yang sama dengan BN tetapi melalui keluk (curve) yang berlainan dan sentiasa di bawah. Dalam tempoh lebih kurang 50 tahun ini, sehingga BN sudah berada di peringkat "decline," jenama-jenama PAS, PRM mahupun DAP tidak pernah berjaya menyaingi jenama BN, tidak ada satupun yang mampu untuk menjadi apa yang ekonomi sebut sebagai 'pengganti sempurna' kepada BN, sepertimana minyak sawit boleh menjadi pengganti sempurna kepada minyak soya, bahkan lebih baik. Tiada satupun jenama-jenama alternatif ini yang pernah berjaya sepertimana berjayanya McDonald memecah dominasi KFC dalam pasaran makanan segera, atau sepertimana berjayanya Pepsi memecah dominasi Coca-Cola dalam pasaran minuman ringan. PAS mungkin sedikit berbeza dengan dua lagi jenama alternatif yang sedia ada dalam pasaran politik kita. Kes PAS mungkin hampir sama dengan salah satu kes klasik dalam kajian ilmu pemasaran di Malaysia, iaitu cubaan Zaitun Industries memecah dominasi Colgate-Palmolive dengan menumpukan kepada satu segmen pasaran sahaja, iaitu pasaran Melayu/Islam. Seketika Zaitun dilihat berjaya dengan mottonya, "Gunakan Tanpa Was-Was" tetapi kejayaan ini hanya untuk segmen pasaran Melayu/Islam dan secara keseluruhannya belum berjaya menyaingi Colgate-Palmolive sebagai pemimpin pasaran. Apa yang berlaku kemudiannya? Hari ini Zaitun telah kehilangan populariti, bahkan ada yang dulu bertukar ke barangan Zaitun kini kembali menggunakan Colgate-Palmolive. Jadi, sebagai sebahagian dari pasaran politik Malaysia, bila saya mahu memilih satu jenama alternatif bagi menjadi 'produk baru' bagi menggantikan BN yang sudah "decline" sudah tentulah saya akan memilih satu jenama yang punya unsur dan kemampuan untuk menjadi pengganti sempurna kepada BN, bahkan lebih baik, sepertimana kemampuan minyak sawit menjadi pengganti sempurna kepada minyak soya. Dalam hal ini, ciri-ciri produk adalah nombor dua, yang utama adalah, apakah jenama baru ini mampu berfungsi di dalam pasaran sama seperti BN, bahkan lebih hebat. BN atau Perikatan pada ketika awalnya (di akhir penjajahan dan awal kemerdekaan) muncul dalam keadaan pasaran (rakyat) adalah multi-etnik dan berpecah-pecah, berpecah-pecah mengikut etnik juga. Bagaimana satu produk berbentuk perkhidmatan boleh memasuki pasaran yang sebegitu? Mahu tidak mahu saya terpaksa mengakui bahawa BN pada ketika itu telah memilih strategi yang betul, iaitu menggunakan strategi pemasaran yang berbeza bagi setiap segmen pasaran (segmen pasaran Melayu, segmen pasaran Cina, segmen pasaran India). Maka wujudlah BN sebagai gabunan komponen jenama untuk semua segmen pasaran, UMNO BN bila memasuki pasaran Melayu, MCA BN bila memasuki pasaran Cina dan MIC BN bila memasuki pasaran India. Strategi ini mengena kerana ketika itu setiap segmen pasaran (rakyat) masih tinggi prejudis dan prasangka mereka dan lebih selesa untuk menerima sesuatu yang dari kalangan mereka sahaja. BN terus berkembang dengan komponen-komponennya dan terus relevan untuk dua tiga dekad selepas negara kita merdeka. Ketika saat kemuncaknya BN berjaya berfungsi dengan baik dan begitu meyakinkan pasaran (rakyat). Tetapi seperti yang saya tulis di bahagian pertama dulu, bila sudah melalui peringkat "decline" dan memerlukan perubahan (reshaping), mereka enggan melakukannya. Sesuatu yang tidak diambilkira oleh BN ialah selama lebih kurang 50 tahun mereka bergerak dan berkembang, pasaran (rakyat) juga bergerak dan berkembang, berevolusi. BN muncul dengan fungsi yang disesuaikan dengan keadaan pasaran (rakyat) yang ketika itu berpecah-pecah mengikut etnik dan tinggi pula prejudis dan prasangkanya. Selama lebih kurang 50 tahun ini, pasaran (rakyat) yang berevolusi telah merobah keadaan demografik negara kita. Pasaran (rakyat) bergerak, bermigrasi, bercampur, berinteraksi, lalu keadaannya tidak lagi berpecah-pecah seperti dahulu. Toleransi menjadi semakin kukuh, prejudis dan prasangka etnik serta kaum semakin hilang. Jadi, bolehkah anda bayangkan, jika satu produk politik baru ingin muncul, dalam bentuk macam manakah ia harus muncul? Kalau diambil BN dengan tiga komponen utamanya iaitu UMNO, MCA dan MIC maka bolehlah saya katakan konsep BN ini adalah "trinity." Tetapi oleh kerana perubahan demografik pasaran semenjak kemerdekaan sehinggan sekarang yang memperlihatkan bahawa pasaran (rakyat) tidak lagi dalam keadaan berpecah-pecah (sagrigated), maka konsep sebuah produk politik yang baru muncul mestilah mengikut acuan ini, iaitu tidak lagi berpecah-pecah dan berkomponen, ia hanya satu, di bawah satu, di atas satu (unity), dalam pada itu tetap membawa struktur multi-etnik, maka sebab itulah saya memilih keADILan, kerana keADILan mempunyai unsur dan kekuatan untuk menjadi 'pengganti sempurna' kepada BN, sifat keADILan adalah unity (tiada komponen di bawah) dan tetap multi-etnik. Berilah sedikit masa kepada keADILan. Harus diingat, tidak seperti PAS, PRM dan DAP, atau BN itu sendiri, keADILan adalah produk baru yang baru berada di Peringkat I dalam Kitaran Hayat Produk. KeADILan mampu untuk menjadi seperti motosikal berkuasa besar buatan Jepun yang memasuki pasaran Amerika, sehingga sampai satu tahap Harley Davidson terpaksa meminta perlindungan kerajaan Amerika Syarikat dengan mempatenkan bunyi ekzosnya kerana tidak tertahan lagi menanggung persaingan motosikal berkuasa besar buatan Jepun ini.

Comment! (3) | Recommend!

MENGAPA SAYA MEMILIH keADILan (BHG. 1)
Tuesday, January 06, 2004
Kali ini biarlah saya menulis kembali ke asas, asas yang membawa saya ke kancah politik, mengapa saya memilih keADILan? Izinkan saya menghurai rasional mengapa saya memilih keADILan dari sudut pandangan ilmu pengurusan, kerana itulah latar belakang pendidikan saya, tinggalkan sebentar sentimen Anwar Ibrahim. Graf di atas dinamakan Product Life Cycle atau Kitaran Hayat Produk. Di mana relevan politiknya? Mari kita andaikan Malaysia sebagai sebuah syarikat yang mengeluarkan produk, yang berbentuk perkhidmatan dan pasaran adalah rakyat negara ini sendiri. Perkhidmatan ini sejak sebermulanya telah dijenamakan sebagai Perikatan atau Barisan Nasional (BN) kemudiannya. BN telah melalui kitaran hayat produk ini secara lengkap, bagaimana? Biar saya jelaskan. BN atau Perikatan mula memasuki Peringkat I (Introduction) pada awal penubuhannya iaitu di akhir penjajahan British dan di awal kemerdekaan. Sesebuah perniagaan akan terpaksa berbelanja banyak pada peringkat ini terutamanya dari segi promosi dan pengiklanan untuk memperkenalkan jenama mereka di pasaran. Dalam konteks BN atau Perikatan pula, mereka terpaksa berbuat banyak perkara, pemimpin-pemimpin pada waktu itu begitu tawadhu' turun ke bawah, berjumpa rakyat (pasaran) demi memberi kefahaman tentang kelebihan dan kesesuaian jenama BN atau Perikatan ini. Bila jenama ini mula merata dalam pasaran (rakyat), mula berlaku peningkatan penerimaan di kalangan mereka, BN mula memasuki Peringkat II (Growth). Peningkatan berlaku pada waktu ini kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku disekitarnya memberi keyakinan kepada pasaran (rakyat) bahawa BN ini boleh diterima dan diyakini. Ini termasuklah kejayaan kerajaan BN yang memerintah ketika itu menyelesaikan masalah komunis dengan berakhirnya darurat, pembentukan Malaysia, menangani krisis perbalahan kaum 13 Mei 1969, melepasi kemelesetan ekonomi 1980an dan beberapa kejayaan lagi. Peringkat ini juga masih menuntut komitmen yang tinggi dari pemimpin BN untuk sentiasa bersama rakyat (pasaran). Peringkat III (Maturity) bermula di akhir tahun 1980an sehinggalah pada tahun 1997, iaitu keadaan di mana BN yang memerintah telah berjaya mempertahankan kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 8% selama lapan tahun secara berturut-turut. Peringkat ini meletakkan BN di kemuncak prestasinya. Kegawatan ekonomi menyerang negara pada akhir tahun 1997. Reputasi BN mula menurun, ini adalah permulaan BN memasuki Peringkat IV (Decline). Keadaan bertambah teruk bagi BN apabila berlaku pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri ketika itu. BN bukan sahaja mengalami krisis reputasi tetapi juga kehilangan sokongan pasaran (rakyat). Ini dibuktikan dalam Pilihanraya Umum 1999 apabila UMNO, parti teras dalam komponen BN telah kehilangan lebih 65% undi pasaran (rakyat) Melayu. Dalam keadaan begini, Malaysia sebagai sebuah syarikat mempunyai dua pilihan strategi untuk dilaksanakan bagi meningkatkan kembali reputasi dan sokongan pasaran (rakyat) terhadap jenamanya. Pertama adalah dengan "reshape" produk yang sedia ada, dalam konteks BN, strategi ini sebenarnya pernah disuarakan oleh Saudara Anwar Ibrahim dengan istilah yang lebih dikenali sebagai "reformasi sistem," iaitu reformasi dalaman, mengubahsuai BN supaya kelihatan lebih "segar" pada pandangan pasaran (rakyat). Tetapi apa yang berlaku, idea beliau ditolak dan beliau tercampak keluar dari jawatankuasa pengurusan jenama BN ini. Oleh kerana strategi pertama ini gagal, maka hanya ada strategi kedua sebagai pilihan. Apa itu strategi kedua? Ianya adalah penawaran produk baru, produk baru maksudnya bukan lagi Barisan Nasional, produk baru mestilah datang dengan jenama baru. Bagi saya jenama baru itu adalah keADILan. Soalnya mengapa keADILan? Mengapa bukan PAS, bukan PRM dan bukan DAP? Tunggu penjelasan saya di bahagian kedua artikel ini nanti.

Comment! (2) | Recommend!

NOTA PENDEK SEORANG PEJUANG DI TAHUN BARU
Wednesday, December 31, 2003
nota: 2004 mula cuba belajar mengembangkan sayapnya... Setiap kali tahun baru muncul aku sering ditanya apa azam baruku? Sedang aku seorang pejuang, tentulah tidak mengira apa nombor yang tertera di kalendar, azamku tetap hanya satu, melihat perjuangan ini menggenggam kemenangan!!! Perjuangan ini mungkin sudah mengajar aku menjadi kurang ajar, tetapi disebaliknya ia juga telah membentukku menjadi orang sabar. Perjuangan ini juga mungkin sudah mengajar aku menjadi orang biadap, tetapi disebaliknya ia juga telah membentukku menjadi orang yang beradab. Perjuangan ini memang penuh dengan cerita keresahan, tetapi pejuang perlukan ketenangan. Aku sering ingat kata orang tua, sedikit tanda ingat, banyak tanda ada. Maka jumlah yang mengikuti perjuangan ini bukanlah satu keresahan bagiku. Kalau sedikit, bagiku sekurang-kurangnya masih ada yang ingat pada perjuangan ini. Apatah lagi kalau ramai, itu tandanya ada orang lain yang turut berjuang bersama aku. Dalam kecerdikan politik mainan UMNO/Barisan Nasional, rakyat mungkin sedikit dikelabui tentang apakah keadilan yang tidak tertegak dan apakah kezaliman yang sedang merajalela. Tetapi Tuhan itu memang Maha Kaya, dalam kekelabuan itu muncul seorang manusia bernama Anwar Ibrahim, yang bersifat antagonis dalam "kebaikan buatan (artificial kindness) watak-watak pemuka" UMNO/Barisan Nasional. Kerana sifatnya itu, Saudara Anwar akhirnya tertendang jatuh dengan cara yang sangat aib. Lalu cerahlah mata rakyat, nampaklah akan keadilan yang tidak tertegak dan kezaliman yang merajalela itu. Apakah rakyat akan terus dengan sifat tipikalnya, "takpalah," "biarlah... mereka yang bergaduh," "asal tak susahkan hidup kita sudah!," "perkara dah lepas, lepaslah...," Apapun kesudahannya, sekali berjuang, aku akan terus berjuang, kata Hang Jebat, "alang-alang mandi biar basah, kepalang retak biar penuh."

Comment! (1) | Recommend!

ANTARA MEMBEBASKAN ANWAR DAN MENEGAKKAN KEADILAN
Friday, December 26, 2003
Tanggal 23hb Disember 2003 baru-baru ini saya berkesempatan hadir ke majlis pelancaran Gerakan Anwar Bebas yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jalan Dato’ Maharajalela, Kuala Lumpur. Meriah, penuh warna-warni, penuh semangat, penuh harapan. Mencari kembali kesepaduan yang tertinggal akibat kecamuk pendekatan yang pelbagai, menggali semula makna dan takrif reformasi, apakah ia masih tersemat kuat di jiwa-jiwa mereka yang mahu dikenal sebagai pejuang dan aktivis. Tahun-tahun 1998 dan 1999 ibarat musim mengutip kepah yang telah terlepas. Kerana tidak menjangkakan begitu banyak kepah yang muncul di tepian pantai ketika itu, kita menjadi kelam-kabut, orang yang tidak cukup, cara yang tidak kena, tempat yang salah dan alat yang tidak sesuai membuatkan kita telah terlepas dari mengaut hasil yang lumayan. Kita mula belajar dari situ, lalu sementara menunggu musim seterusnya, pemimpin-pemimpin kita yang datang dan pergi, naik dan turun masing-masing muncul dengan cara dan teori sendiri. Mungkin kerana kepelbagaian dan perbahasan tidak wujud dalam kitab politik kuno karangan UMNO/Barisan Nasional, atau mungkin juga kerana kealpaan kita yang terlalu memilih dan mempertahankan yang satu dari yang pelbagai itu, ada daripada kalangan kita yang kecewa dan berjauh hati bila merasai pendapat dan pandangannya tidak di pihak dominan, apakah sampai kita terlupa tentang hasrat dan cita-cita reformasi yang kita sama-sama junjung selama ini? Tepuklah dada, Tanya hati sendiri. Musim seterusnya akan kembali. Dengung pilihanraya sudah kedengaran dan itulah tanda hadirnya. Malam 23hb Disember 2003 harus menjadi pemula kedua, pemula yang lebih tersusun dan mantap. Kita mulakan dengan melunaskan kehendak yang satu, sama dan tidak pelbagai, MEMBEBASKAN ANWAR IBRAHIM! Anwar Ibrahim… beliau adalah ikon, beliau adalah simbol. Simbol kepada keadilan yang telah disepak terajang, simbol kepada kezaliman yang dijunjung dijulang. Maka membebaskan Anwar bermaksud membebaskan keadilan, membebaskan Anwar bermaksud meruntuhkan kezaliman. Tetapi, kenyataan bahawa Anwar perlu dibebaskan dengan apa cara sekalipun tidak boleh diguna pakai. Pembebasan Anwar perlu hanya melalui satu landasan, iaitu PERJUANGAN! Tidak boleh ada kompromi! Ya, Anwar mungkin boleh dan akan bebas dengan KOMPROMI, dan mungkin juga ramai yang akan gembira dengan pembebasan ini. Namun percayalah, dengan cara ini yang akan bebas hanyalah batang tubuh Anwar Ibrahim. Sedangkan sama ada kita sedar atau tidak, keadilan akan terus terpenjara menanti hukuman gantung sampai mati mandatori, kezaliman akan terus melata dan berkuasa. Dimanakah kita yang mengaku pejuang dan aktivis jika Anwar terbebas dengan cara ini? Turut sama merayakan pembebasan ini? Apakah kita akan mula melupakan fail-fail rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO/Barisan Nasional (Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik, Khalil Yaakob, Mohd Khir Toyo dsb – sekadar menyebut beberapa kes) yang masih kemas terikat dengan tali merah dan bertanda SULIT? Ini juga adalah kezaliman yang wajib kita rungkaikan dan kita adili, atas nama REFORMASI dan PERJUANGAN! Pastikan kita berada di landasan perjuangan, perjuangan membebaskan keadilan bersimbolkan Anwar Ibrahim, bukan membebaskan Anwar Ibrahim bersimbolkan keadilan. Musim baru akan tiba; susun dan percukupkanlah orang-orang kita, kenalpasti cara yang paling berkesan, pilih tempat-tempat yang betul dan perlengkapkanlah segala peralatan, jangan nanti kita terlepas lagi mengaut hasil yang lumayan atau kepah sendiri yang merajuk hati dan tidak mahu lagi hadir dan muncul di tepian pantai ini.

Comment! (3) | Recommend!

NORITTA YANG MATI, KERTAS SIASATANNYA YANG DIKERAN
Monday, December 15, 2003
Sedari awal, mengikuti kes rogol-liwat-bunuh gadis cantik, Noritta Samsudin, saya merasa seperti ada sesuatu terselindung disebaliknya. Maaf cakap, entah macam mana hati saya keberatan untuk memberi rasa simpati kepada beliau, rasanya saya lebih kasihan dengan tragedi yang menimpa Canny Ong. Jauh dari cuba mahu bersangka buruk, tetapi fakta-fakta tentang kehidupan peribadi dan hubungan sosialnya tetap membuat otak saya berfikir ligat. Nisbah antara kerjaya dengan kemewahan hidup beliau terlalu tidak sekata, beliau cuma seorang pegawai pemasaran! Lalu siapakah sebenarnya yang terlibat di sebalik kematian beliau ini? Mayat beliau dikatakan dijumpai dalam keadaan terikat tetapi tiada kesan pergelutan di dalam KONDO MEWAH tersebut. Pada awalnya ada khabar yang mengatakan wujudnya penglibatan anak orang kenamaan, tetapi segera dinafikan oleh pihak polis. Beberapa tangkapan telah dibuat, lapan orang setakat ini, cebisan tisu dengan kesan air mani juga dijumpai. Dengan tangkapan dan bukti ini, polis percaya bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan kes ini. Di ketika cerita ini di tahap klimaks, pewartaan berterusan media terhadap tragedi ini telah menjadikan ia sebagai national public interest, cuma menunggu keputusan ujian DNA sahaja, tiba-tiba malam tadi (14 Disember 2003, Buletin Utama TV3), Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Omar secara mengejut mengeluarkan kenyataan bahawa kes ini sekarang adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Apakah maksudnya? Apakah selepas ini tidak ada lagi laporan? Bagaimana pula dengan keputusan siasatan? Adakah ia juga akan dirahsiakan? Maka sesiapa yang mendedahkan nanti akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi? Keputusan Ujian DNA Saddam Hussein cuma mengambil masa sehari sahaja, sepatutnya kita sudah dapat tahu siapa pembunuh Noritta, mungkinkan ia "seseorang" sehingga ia perlu dirahsiakan? Seterusnya, apakah kita akan melihat tragedi Mustakizah berulang lagi? Terus senyap... tertegakkah keadilan? Akhirnya Istana Keadilan yang tersergam itu akan menjadi kubur besar menyemadikan keadilan-keadilan yang mati. Soalnya kenapa dirahsiakan? Kali ini kebejatan siapa pula yang ingin dilindungi atas nama undang-undang? Tidak cukupkah lagi dengan kertas-kertas siasatan rasuah pimpinan UMNO yang diOSAkan sehinggakan Ezam terperosok ke Penjara Kajang semata-mata kerana kepercayaan bahawa rakyat perlu tahu tentang kebusukan perilaku pemimpin-pemimpin ini. Ini kes bunuh, melibatkan nyawa manusia!!! Dalam kitab Ihya' Ulumuddin, Imam Al-Ghazali telah menggariskan lima tanggungjawab pemimpin negara, salah satunya adalah MELAKSANAKAN NEGARA HUKUM, bukan MENGGUNAKAN HUKUM UNTUK MENGGELAPKAN SALAH LAKU SESEORANG DAN TERELAK DARI TERHUKUM. Apakah salah guna kuasa telah berlaku atas nama undang-undang? Kata Datuk Seri KPN lagi, jangan buat andaian sendiri, jangan buat spekulasi, setelah mengOSAkan kertas siasatan kes bunuh Noritta... tetapi tindakan beliau itu sendiri sebenarnya telah menimbulkan banyak andaian, menimbulkan banyak spekulasi.

Comment! (4) | Recommend!

Page: 1 2 3
zukri's Weblog Site • NuTang.com

NuTang is the first web site to implement PPGY Technology. This page was generated in 0.005seconds.

  Send to a friend on AIM | Set as Homepage | Bookmark Home | NuTang Collage | Terms of Service & Privacy Policy | Link to Us | Monthly Top 10s
All content � Copyright 2003-2047 NuTang.com and respective members. Contact us at NuTang[AT]gmail.com.